20,000 pokok bakau ditanam di Tawau hasil kerjasama strategik
KUALA LUMPUR: Kerjasama strategik antara Yayasan Hijau Malaysia, Jabatan Perhutanan Sabah dan Wiwynn Technology Service Malaysia Sdn Bhd menyaksikan 20,000 pokok bakau ditanam di Sabah hari ini. Yayasan Hijau Malaysia dalam kenyataan semalam berkata inisiatif sempena sambutan Hari Pemuliharaan Ekosistem Hutan Bakau Antarabangsa di Sungai Mangkalitan di Hutan Simpan Tawau, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam konservasi hutan bakau di Malaysia.
Menurut kenyataan itu, inisiatif menanam pokok secara besar-besaran itu merupakan sebahagian daripada Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok, menonjolkan impak hebat hasil kerjasama awam-swasta dalam pemuliharaan alam sekitar. "Usaha ini mengetengahkan komitmen berterusan Malaysia untuk melindungi ekosistem pantai, menyokong biodiversiti dan mengurangkan kesan perubahan iklim menerusi pengasingan karbon.
"Diterajui oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Kempen 100 Juta Penanaman Pokok merupakan bukti keazaman negara untuk mencapai matlamat kelestarian global dan memupuk masa depan yang lebih mesra alam dan sihat untuk semua," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan sama berkata kementerian mengalu-alukan semua program yang selari dengan matlamat kempen tersebut.
Beliau berkata kempen itu menggalakkan penyertaan dan penglibatan semua pihak termasuk sektor swasta dan badan korporat, menerusi sumbangan kewangan, penajaan dan aktiviti penanaman.